TEG horizontal logo 2

Vape: Bahaya tersembunyi di sebalik gaya hidup moden

VAPE atau rokok elektronik kini menjadi fenomena yang mencetuskan gelombang baharu dalam kalangan anak muda dan remaja.

Dihiasi dengan pelbagai pilihan perisa dan reka bentuk yang menarik, vape dipromosikan sebagai simbol gaya hidup moden dan lebih selamat berbanding rokok tradisional.

Namun, di sebalik imej cool dan moden ini, vape membawa ancaman yang tidak boleh dipandang enteng.

Walaupun vape tidak menghasilkan asap dari hasil pembakaran seperti rokok biasa, ia tetap mengandungi bahan kimia berbahaya.

Seorang pakar perubatan keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah melahirkan kebimbangan tentang peningkatan penggunaan vape, terutamanya selepas mendengar ceramah yang disampaikan oleh pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengenai bahaya dadah dalam kalangan remaja.

Tip of the Iceberg kes mushroom magic

Kes keracunan mushroom magic yang berlaku di Kemaman baru-baru ini merupakan salah satu contoh ekstrem di mana dadah terlarang dicampur dalam cairan vape untuk dijual kepada pelajar.

Menurut beliau, kes itu hanyalah permulaan, dan banyak lagi laporan serupa diterima di seluruh negara termasuk di Terengganu.

“Boleh dikatakan tiap-tiap minggu, guru sekolah menelefon AADK untuk mengambil tindakan terhadap murid yang mengambil vape yang dicampur dengan bahan-bahan terlarang. Inilah realiti yang perlu kita hadapi buat masa sekarang,” katanya.

Menyedari ancaman itu, beliau mencadangkan agar vape diharamkan selaras dengan keputusan Majlis Fatwa, bagi mengelakkan kesan buruk yang lebih besar terhadap masyarakat.

Suhazeli berpendapat pengharaman itu penting untuk mencegah penyalahgunaan vape dan menghalang inovasi yang boleh merosakkan kesihatan awam.

“Vape perlu diharamkan oleh semua pihak, bukannya memberi ruang dan peluang kepada mereka yang membuat pelbagai inovasi untuk mempromosikan vape dan seterusnya mengkayakan lagi poket industri mereka,” katanya.

Menurut beliau, salah satu ancaman terbesar kepada pengguna vape adalah disebabkan campuran bahan terlarang.

Beliau merujuk kepada pendedahan laman website medium.com yang melaporkan penjualan vape dicampur dadah seperti etomidate.

“Etomidate, sejenis ubat bius yang hanya boleh digunakan secara terkawal oleh doktor, kini disalahgunakan dengan mencampurkannya ke dalam cairan vape berperisa, menarik minat pengguna muda yang tidak menyedari bahaya sebenar.

“Semakin maju dunia, semakin kreatif manusia. Masyarakat semakin terkesan dengan kecanggihan yang tiada batas,” ujarnya.

Sumber: HarakahDaily

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss