TEG horizontal logo 2

KKM harap Akta 852 dapat dikuatkuasa Oktober ini

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni ketika sidang media Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAS) Peringkat Negeri Kelantan 2024 di Medan Selera Laman Siti Khadijah, di sini, hari ini. 

Kota Bharu: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap Jabatan Peguam Negara (ACG) dapat meluluskan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) pada Oktober ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pihaknya kini sedang menunggu kelulusan daripada ACG yang kini masih di fasa akhir.

Katanya, Akta 852 diwartakan pada Februari lalu sehingga kini masih belum dikuatkuasakan walaupun pada mulanya diumumkan akan dilaksanakan pada Jun dan kemudiannya ditangguhkan pada Ogos.

“Pelaksanaan akta ini dijangka mengenakan syarat lebih ketat kepada terhadap peniaga rokok dan rokok elektronik termasuk larangan mempamerkan produk berkenaan secara terbuka di premis perniagaan.

“Ia akan dikuatkuasakan segera sebaik saja peraturan dan perintah berkaitan akta berkenaan diwartakan.

“Persekitaran yang bebas tanpa merokok amat penting dalam mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas tanpa sebarang bentuk amalan merokok pada tahun 2040,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media selepas Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAS) Peringkat Negeri Kelantan 2024 di Medan Selera Laman Siti Khadijah di sini, hari ini.

Terdahulu, sebanyak 12 premis makanan menerima tanda pengiktirafan keselamatan dan kebersihan makanan.

Dalam pada itu, Lukanisman berkata, setakat ini penguatkuasaan larangan merokok di tempat larangan masih lagi berjalan tanpa henti dengan akta yang sedia ada.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sebanyak 12,022 operasi pematuhan kepada larangan merokok di tempat larangan sudah dilaksanakan di seluruh negara sejak Januari sehingga Ogos lalu.

“Dalam tempoh itu juga, sebanyak 86,402 notis kesalahan di bawah Peraturan 11 (1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dikeluarkan.

“Manakala sebanyak 35,996 notis kesalahan di bawah Peraturan 11 (1) (d), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 turut dikeluarkan,” katanya.

Lukanisman berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 9,440 aduan yang diterima KKM berkaitan kesalahan merokok di premis makanan.

“Manakala bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 8,762 aduan yang sudah diterima,” katanya.

Sumber: HM

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss