TEG horizontal logo 2

CAP seru kerajaan tolak memorandum industri vape

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru kerajaan supaya menolak memorandum industri vape dengan tegas susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 yang berkuat kuasa pada 1 Oktober ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, hujah industri yang sama pernah digunakan oleh sektor tembakau, direka bagi mengelirukan orang ramai untuk menjadikan vape sebagai alternatif lebih selamat.

Katanya, berikutan penggunaannya dalam kalangan belia Malaysia terus meningkat, risiko kesihatan dan kos ekonomi jauh melebihi sebarang manfaat kewangan yang mungkin ditawar oleh industri itu.

“Kemajuan ini dicapai walaupun terdapat memorandum daripada lima persatuan yang mewakili lebih daripada 2,000 peniaga vape, menggesa pindaan kepada undang-undang memihak kepada industri itu.

“Walaupun industri vape mendakwa sebagai penyumbang hasil yang besar, dakwaan ini tidak terbanding dengan kos perubatan besar yang ditanggung oleh pembayar cukai,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, walaupun vape dipasarkan sebagai alternatif lebih selamat dan alat berhenti merokok, dakwaan itu sering mengelirukan serta menyumbang kepada ketagihan nikotin berterusan.

Katanya, taktik industri vape juga menyasarkan bukan perokok dan golongan muda hingga menarik mereka kepada tabiat ketagihan yang sangat berbahaya.

“Paparan produk vape yang menonjol di kedai digabungkan dengan pembungkusan menarik, memainkan peranan penting dalam mempengaruhi tingkah laku pengguna sambil memperkecilkan risiko kesihatan.

“Penyelidikan menunjukkan bahawa strategi pemasaran sedemikian menggalakkan bukan perokok dan remaja supaya mula menggunakan produk ini dengan akibat jangka panjang yang berbahaya.

“Cecair vape yang dijual dalam kuantiti lebih besar lagi, menggalakkan penggunaan kerap hingga membawa kepada pengambilan nikotin lebih tinggi dan pendedahan kepada bahan kimia berbahaya iaitu terdapat dalam aerosol,” katanya lagi.

Menurut Mohideen, Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA) meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) beri tempoh penghapusan selama satu tahun bagi menjual stok sedia ada.

Katanya, ia mengingatkan kepada tindak balas industri tembakau terhadap pengenalan Amaran Kesihatan Bergambar (PHW) pada 2008, yang mana syarikat meminta tempoh tangguh sehingga dua tahun dengan alasan menanggung kos besar dan kebimbangan logistik.

Bagaimanapun semasa Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei 2008, KKM mengumumkan bahawa PHW dilaksana menjelang Januari 2009 tanpa ruang bagi penangguhan.

“Peniaga vape juga berhujah bahawa yuran pendaftaran yang tinggi dan kos kawal selia mengancam perniagaan mereka namun kerajaan perlu meletakkan kesihatan awam mengatasi kepentingan peniaga ini.

“Kewajaran ekonomi bagi industri vape semakin lemah oleh peningkatan kos penjagaan kesihatan penyakit berkaitan vape dan kebanyakan individu terjejas mungkin akan mendapat rawatan di hospital awam, memburukkan lagi beban pada sistem penjagaan kesihatan yang sudah sesak.

“Vape boleh menyebabkan gangguan tenaga kerja, penurunan pendapatan dan bebanan kewangan bagi keluarga iaitu kos yang diabaikan oleh industri.

“Tanpa langkah undang-undang kukuh, kos merawat kecederaan paru-paru berkaitan e-rokok atau vaping (EVALI) dijangka mencecah RM369 juta setiap tahun menjelang 2030, digabungkan dengan kos tersembunyi lain melebihi RM500 juta dalam hasil tahunan yang boleh dijana oleh cukai vape,” katanya lagi.

Sumber: Harian Metro

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss