TEG horizontal logo 2

Lebih 2,000 notis, 3 kompaun dikeluarkan atas kesalahan merokok

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,548 notis amaran dikeluarkan kepada pemilik premis dan individu yang didapati melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli, berkata notis itu dikeluarkan menerusi penguatkuasaan pendidikan yang dilaksanakan pihaknya susulan pelaksanaan Akta 852.

Katanya, sejak akta itu berkuat kuasa, pihaknya turut mengeluarkan tiga kompaun atas kesalahan merokok.

“Dengan berkuat kuasa Akta 852, Kementerian Kesihatan (KKM) mengadakan pemeriksaan di 2,930 premis di seluruh negara membabitkan seramai 1,614 anggota.

“Sepanjang pemeriksaan itu, kita mengeluarkan sejumlah notis dan notis ini hanya tindakan penguatkuasaan pendidikan supaya orang ramai tahu mengenai Akta 852,” katanya pada sesi taklimat media berkaitan Akta 852 di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Norhayati berkata, berlaku salah faham apabila ada pihak mendakwa penguat kuasa KKM mengeluarkan notis kompaun kepada pemilik premis.

Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah notis amaran bersifat advokasi untuk orang ramai peka dengan Akta 852.

“Seperti dilaporkan baru-baru ini, penguatkuasaan Akta 852 dilaksanakan secara berfasa, ada yang dikuat kuasakan serta-merta dan ada yang secara berperingkat.

“Sebab itu kita hanya mengeluarkan notis terbabit kecuali mereka yang melakukan kesalahan merokok di kawasan larangan, itu kita keluarkan kompaun,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss