TEG horizontal logo 2

Premis dobi diwarta kawasan larangan merokok mulai 1 Januari 2025

PUTRAJAYA: Bangunan dobi antara 28 kawasan diwartakan sebagai larangan merokok susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Selain itu, bangunan tempat kerja kerajaan dan swasta turut tersenarai dengan kedua-duanya berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata bangunan dobi antara yang diperjuangkannya sejak 2019 ketika pertama kali menjawat jawatan berkenaan.

“Pastinya saya berasa bersyukur, akhirnya dobi menjadi tempat awam (larangan merokok).

“(Bangunan dobi sering didatangi golongan ibu-ibu, isteri bawa anak dan sebagainya, kadang-kadang tempat itu menjadi kawasan untuk berehat,” katanya pada sesi taklimat media berkaitan Akta 852 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli.

Selain bangunan dobi dan tempat kerja, antara kawasan larangan merokok yang diwartakan adalah pusat hiburan atau teater kecuali kasino, hospital dan klinik, lif atau tandas awam, tempat makan, kedai berhawa dingin serta mana-mana kawasan yang digunakan bagi aktiviti perhimpunan.

Sementara itu, Dr Norhayati berkata, tindakan penguatkuasaan yang bermula tahun depan adalah bagi memberi masa secukupnya kepada pemilik premis untuk menampal tanda amaran larangan merokok.

“Kita nak beri peluang (kepada pemilik) dobi untuk mendapatkan segera tanda amaran larangan merokok dan ditampal di premis masing-masing,” katanya.

Akta 852 dikuatkuasakan mulai 1 Oktober lalu dengan mengenakan syarat lebih ketat terhadap peniaga rokok dan vape termasuk larangan mempamerkan produk terbabit secara terbuka di premis perniagaan.

Akta itu juga menggariskan larangan penjualan rokok dan vape melalui dalam talian ke atas semua platform bagi mengelakkan ia dibeli oleh Orang Belum Dewasa (OBD) iaitu individu berusia di bawah 18 tahun.

Selain itu, produk rokok dan vape juga dilarang dijual melalui mesin vending dan tidak boleh dijual di kawasan institusi pendidikan atau institusi pengajian tinggi (IPT).

Produk rokok dan vape juga dilarang dijual di pasar jualan atau mana-mana pasar jualan bersifat sementara seperti Uptown, Downtown, pasar malam dan sebagainya.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss