TEG horizontal logo 2

Akta 852: KKM sasar kadar merokok kurang 15 peratus

Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan mengurangkan prevalen penggunaan tembakau konvensional kurang 15 peratus menjelang Disember tahun depan, susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penguatkuasaan Akta 852 yang lebih menyeluruh berupaya membantu mencapai sasaran terbabit berbanding 19 peratus yang direkodkan pada Tinjauan Tembakau Dewasa Global (GATS) Malaysia 2023.

“Walaupun prevalen penggunaan tembakau berkurang daripada 21.3 peratus kepada 19 peratus, terdapat peralihan daripada merokok konvensional kepada penggunaan vape.

“Sekarang kita tinggal empat peratus untuk mencapai sasaran terbabit dan saya berharap kita dapat mencapainya menjelang Disember 2025 untuk (mendapat angka) 15 peratus atau kurang daripadanya,” katanya pada sesi taklimat media berkaitan Akta 852 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli.

Ditanya mengenai sasaran membabitkan rokok elektronik, Dzulkefly berkata, pihaknya akan menentukan prevalen produk berkenaan supaya KKM dapat menangani isu terbabit dengan lebih berkesan.

“Buat masa ini prevalen membabitkan vape adalah pada 5.8 peratus, jadi kita hanya dapat menentukan sasarannya apabila kita perhatikan pelaksanaan (Akta 852) supaya kita dapat capai sasaran lebih realistik,” katanya.

Pada Mei lalu, Dzulkefly dilaporkan berkata, terdapat peningkatan ketara iaitu sebanyak 600 peratus terhadap penggunaan rokok elektronik di negara ini dengan 5.8 peratus pengguna dikenal pasti pada 2023 berbanding 0.8 peratus pada 2011.

Data itu didedahkan dalam GATS 2023 iaitu tinjauan isi rumah peringkat kebangsaan yang dilakukan di lebih 30 negara berpendapatan rendah dan sederhana yang dibebani penggunaan tinggi tembakau.

Perbandingan data itu dibuat antara 2011 dan 2023 dengan selang masa 12 tahun.

Source: Harian Metro

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss