TEG horizontal logo 2

Budak usia 9 tahun bawa vape ke sekolah

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerima aduan daripada 40 guru sekolah di negara ini yang meluahkan rasa bimbang mengenai pelajar dan murid berusia seawal sembilan tahun yang membawa peranti vape ke sekolah tanpa rasa takut.

Malah, seramai 30 ibu bapa di seluruh negara juga turut mengadu kepada CAP berhubung kebimbangan yang sama mengenai anak mereka.

Pegawai Pendidikan CAP dan Aktivis Anti Merokok, NV Subbarow berkata, keadaan itu dipercayai berlaku kerana sudah tiada peruntukan undang-undang bagi mengawalnya.

Selain mudah diperoleh, Subbarow berkata harganya yang murah serendah RM10 setiap satu juga menyebabkan ia mampu dimiliki pelajar dan murid.

“Ini bukan lagi tugas guru bagi menyemak isu yang membabitkan pelajar membawa vape ke sekolah kerana mereka juga ada perkara lain yang perlu diselesaikan.

“Hari demi hari ratusan kanak-kanak sekolah, pelajar, belia dan gadis muda sudah ketagihan nikotin ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Subbarow berkata demikian bagi mengulas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan Generasi Penamat (GEG) yang sangat penting bagi menyelamat ratusan ribu generasi akan datang.

Subbarow berkata, semakin lama Ahli Parlimen melambatkan mengenai perkara itu, semakin ramai penagih nikotin akan muncul.

Katanya, CAP juga tidak faham mengenai RUU berkenaan yang dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) tanpa sebarang perbahasan.

“Selepas mendengar mengenai kelewatan RUU tembakau akan diserah kepada PSC, ramai ibu bapa dan guru bimbang serta kecewa.

“Ada juga yang marah dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana sebelum ini mereka percaya pihak berkenaan akan mengambil beberapa langkah sihat bagi mengatasi perkara terbabit supaya ia tidak dijual kepada golongan muda serendah lapan tahun.

“Bagaimanapun, ibu bapa, guru dan badan bukan kerajaan (NGO) sangat kecewa pada akhirnya kerana tiada sebarang keputusan konkrit dibuat di Parlimen tetapi ia dirujuk kepada PSC,” katanya lagi.

Menurut Subbarow, guru bimbang isu berkenaan bakal mendatangkan lebih banyak masalah di sekolah kerana tiada sebarang keputusan konkrit mengenainya.

Malah guru dijangka menghadapi banyak masalah sosial mengenai isu vape di sekolah.

“Sehubungan itu, CAP menggesa Menteri Kesihatan supaya berusaha meluluskan RUU itu tanpa sebarang kelewatan dalam persidangan Parlimen demi keselamatan generasi akan datang.

“Kami bimbang rakyat akan marah dengan Ahli Parlimen yang tidak memahami bahaya penjualan tembakau, vape dan ‘jus nikotin beracun’ yang dijual dengan mudah.

Sumber : Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss