TEG horizontal logo 2

RUU GEG dirujuk semula ke JKPK Kesihatan

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 sekali lagi dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan untuk diperhalusi.

Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa memberitahu, tindakan itu dibuat selepas terdapat permintaan agar beberapa perkara dilihat dan diperhalusi secara lebih lanjut semasa sesi libat urus bersama Jawatankuasa Pilihan Khas kesihatan pada 6 Jun lepas.

Ia melibatkan ahli-ahli Parlimen, badan profesional dan badan-badan bukan kerajaan.

“Oleh itu KKM mencadangkan RUU ini dirujuk kepada JKPK Kesihatan bagi penelitian lanjut di mana jawatankuasa ini berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang yang akan mengambil kira pandangan daripada semua pihak.

“Ia kerana, RUU ini memerlukan sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua pihak adalah perlu.,” katanya.

Zaliha berkata, KKM komited RUU tersebut dapat diluluskan dalam masa terdekat.

Media sebelum ini melaporkan, KKM akan membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, ia akan dibentangkan Zaliha selepas sesi soal jawab.

Sebelum ini, pada 26 Mei lepas, Zaliha menyifatkan perkara itu kejayaan buat KKM apabila mendapat sokongan Kabinet untuk RUU tersebut dibentang.

Pada sesi taklimat bersama media 6 Jun pula, beliau berkata, KKM telah memasukkan kesemua 23 cadangan pindaan terdahulu serta lima cadangan baharu dan RUU itu disifatkan lebih komprehensif dan meliputi bukan sahaja rokok konvensional tetapi juga rokok alaf baharu termasuk elektronik serta rokok combustible.

Bagaimanapun, Zaliha berkata, RUU itu masih mengekalkan peruntukan dasar generasi penamat (GEG), manakala perubahannya adalah pada cohort generasi yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya.

Sumber: MalaysiaGazette

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss