TEG horizontal logo 2

RUU Kawalan Produk Merokok Dibentangkan Hari ini

KUALA LUMPUR – Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, ia akan dibentangkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa selepas sesi soal jawab.

“RUU itu masih mengekalkan peruntukan dasar generasi penamat (GEG), manakala perubahannya adalah pada cohort generasi yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya,” ujarnya.

Turut akan dibentang untuk bacaan kali pertama adalah Rang Undang-Undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2023 oleh Kementerian Kewangan.

Selain itu, antara yang menjadi tumpuan dalam sesi soal jawab hari ini adalah pertanyaan daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) kepada Kementerian Pendidikan mengenai langkah untuk menangani isu buli khususnya dalam kalangan pelajar sekolah menengah yang menunjukkan peningkatan kes setiap tahun.

Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) pula meminta KKM menjelaskan langkah untuk memupuk kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat yang masih berada di tahap rendah memandangkan Malaysia dikategorikan sebagai bukan negara sihat.

Turut tersenarai, soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang ingin tahu adakah Kementerian Perpaduan Negara terlibat dalam proses pemantauan dan suntingan drama dan filem bagi memastikan nilai kerukunan karya yang dihasilkan serta tidak menyentuh isu sensitif melibatkan kaum dan agama.

Sebelumnya, pada 26 Mei lepas, Dr Zaliha menyifatkan perkara itu kejayaan buat KKM apabila mendapat sokongan Kabinet untuk RUU tersebut dibentang.

Pada sesi taklimat bersama media 6 Jun pula, beliau berkata, KKM telah memasukkan kesemua 23 cadangan pindaan terdahulu serta lima cadangan baharu dan RUU itu disifatkan lebih komprehensif dan meliputi bukan sahaja rokok konvensional tetapi juga rokok alaf baharu termasuk elektronik serta rokok combustible.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 11 hari dan akan berakhir Khamis ini.

Sumber: IKRAM

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss