TEG horizontal logo 2

Taktik terbaharu jual vape mirip alat tulis sasar pelajar sekolah, kanak-kanak – MCPF

Rekaan seperti alat tulis dibimbangi menarik lebih ramai pengguna baharu dalam kalangan pelajar. – Foto FB Public Health Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) digesa melakukan serbuan dan rampasan ke atas peniaga yang memiliki serta menjual peranti vape dan rokok elektronik menyerupai perkakas alat tulis dengan menggunakan label mengelirukan.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob, berkata tindakan peniaga dan penjual dalam talian yang memasarkan barangan, termasuk pelekat menyerupai perkakas alat tulis seperti highlighter, gam dan pena penanda adalah tidak bertanggungjawab serta melanggar undang-undang.

“Taktik licik terbaharu dilakukan peniaga peranti merokok itu yang menyasarkan pelajar sekolah bukan saja menarik minat remaja dan kanak-kanak untuk membelinya, bahkan mengelirukan beberapa pihak termasuk guru, ibu bapa dan penjaga.

“MCPF berpandangan tindakan penjual terbabit jelas melanggar beberapa undang-undang antaranya Akta Hak Cipta 1987, Akta Paten (Pindaan) 2022 serta Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MCPF melihat taktik penjualan vape dan rokok elektronik seperti itu boleh mempengaruhi pelajar untuk membawanya ke sekolah tanpa sebarang kegusaran, sekali gus akan meningkatkan tabiat tidak sihat dan memudaratkan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

“Malah, penjualan peranti ini secara terbuka dalam talian dan kedai barangan gajet memudahkan pelajar membelinya, sekali gus menyukarkan pemantauan daripada pihak berwajib.

“Ia juga akan merencatkan usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan remaja atau pelajar kepada rokok, termasuk vape meskipun Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) mula dikuatkuasa pada 1 Oktober lalu,” katanya.

Selain itu, katanya, MCPF juga mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya merangka satu peraturan khusus penjualan produk merokok bagi mengekang peniaga menjual peranti vape dan rokok elektronik yang mampu menarik minat remaja dan kanak-kanak.

Mutakhir ini, pelbagai produk vape dan rokok elektronik dijual terutama dalam talian menyerupai alat tulis, dengan tujuan untuk menarik minat pelajar.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss