TEG horizontal logo 2

MENJAWAB

SALAH FAHAM

GEG @ GENERASI PENAMAT

Anda Tanya Kami Jawab

Generational End Game (GEG) atau Generasi Penamat merupakan satu langkah strategik yang akan diperkenalkan bagi melarang aktiviti tertentu berkaitan merokok terhadap generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya. 

Larangan ini termasuklah menjual sebarang produk merokok kepada GEG, larangan pembelian serta penggunaan baik menguyah dan menghisap sebarang produk merokok untuk kegunaan merokok oleh GEG.

Tujuannya – Menjelang tahun 2040, negara berhasrat untuk:
i. Menurunkan prevalens merokok kurang daripada 5%
ii. Menamatkan penjualan komersil prosuk tembakau dan merokok
iii. Budaya merokok menjadi asing dalam masyarakat
iv. Generasi baru tidak lagi terdedah kepada budaya merokok

Sebagai titik permulaan penting untuk memberhentikan generasi anak cucu kita daripada terus terbelenggu dengan tabiat merokok dan ketagihan nikotin yang berpanjangan.

Terdapat dua komponen utama kawalan di bawah RUU ini:

1) Kawalan Produk Berisiko kepada Kesihatan:
i. Tembakau dan hasil tembakau
ii. Rokok elektronik, Cecair atau gel rokok elektronik dan vape bernikotin atau tidak bernikotin
iii. Produk pengganti tembakau

2) Larangan merokok kepada kumpulan generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya atau dikenali sebagai Generasi Penamat (Generational End Game, GEG)

Bacaan pertama dan kedua rang undang-undang ini telah dibuat oleh Menteri Kesihatan pada 27 Julai 2022 dan 1 Ogos 2022.

Dewan Rakyat kemudiannya menerima satu usul bagi merujuk RUU ini kepada Jawatankuasa Parlimen Khas (JKPK) Menimbang Rang Undang-undang.

JKPK Menimbang Rang Undang-Undang itu dianggotai oleh 13 Ahli Dewan Rakyat yang dinamakan oleh parti masing-masing.

Satu kertas Pindaan Dalam Jawatankuasa yang mengandungi 23 pindaan ke atas Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 kemudiannya telah dimuktamadkan.

Cadangan pindaan itu membabitkan Tajuk Panjang, fasal 1, 2, 5, 13, 17, 21, 24, 26, 27, 28, 29, 30, 31, 33, 34, 35, 38, 49, 53, penambahan fasal baharu 54 dan penomboran semula fasal 54 dan 55.

Kemudian pada 5 Oktober 2022, JKPK itu yang telah bermesyuarat lima kali dengan semangat bipartisan yang matang dan harmoni dalam memperhalusi peruntukan dalam rang undang-undang tersebut, telah membentangkan laporan penyata yang mengandungi butiran prosiding serta rumusan dan syor JKPK bagi menambah baik rang undang-undang berkenaan

Ahli-ahli JKPK secara konsensus bersetuju dengan laporan penyata serta cadangan pindaan yang perlu dibuat ke atas rang undang-undang ini.

Antara perkara yang dibangkitkan dan diperhalusi sepanjang mesyuarat berlangsung adalah berhubung isu keperlembagaan, keperluan akta baharu bagi mengawal selia produk merokok dan aktiviti membabitkan produk merokok, perbincangan ke atas had penguatkuasaan serta penalti bagi kesalahan dalam rang undang-undang.

Akhirnya, Jawatankuasa Khas Parlimen telah memuktamadkan beberapa syor berikut terhadap RUU ini, antaranya adalah:

i. Nama dan permulaan RUU
• Dipinda bagi menggambarkan ‘kawalan produk merokok demi kesihatan awam’

ii. Isu Perlembagaan Persekutuan
• JK bersetuju bahawa pelaksanaan GEG tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan (Perkara 5(1): Kebebasan diri dan Perkara 8(1): Kesamarataan) dan ia selaras dengan pandangan pakar-pakar perundangan.

iii. Penetapan Generasi Penamat
• KEKAL Penetapan tarikh bagi Generasi Penamat Rokok iaitu mana-mana orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya. Larangan dijual, membeli dan menghisap sebarang produk merokok dikekalkan.

iv. Larangan Pemilikan
• Larangan terhadap pemilikan digugurkan

v. Jumlah Denda
• Denda dikekalkan, nilaian denda RM 5,000.00 diturunkan kepada RM 500.00
• Kesalahan dikekalkan sebagai kesalahan yang boleh dikompaun

vi. Hukuman Penjara
• Tiada hukuman penjara dikenakan. Sebaliknya, Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) akan diperkenalkan bagi memberikan peluang pendidikan berterusan dijalankan. Integrasi rawatan berhenti merokok juga boleh diperkenalkan. 
• Penguatkuasaan Pendidikan dijalankan terdahulu bagi membolehkan aktiviti promosi dan advokasi bagi kumpulan sasar dapat dilaksanakan.
• Penguatkuasaan Penuh hanya akan dimulakan pada tahun 2028.

vii. Kesalahan Jenayah
• Kesalahan yang dilakukan oleh Generasi Penamat Rokok merupakan kesalahan yang TIDAK BOLEH DITANGKAP.  

• Ini adalah kerana berdasarkan Jadual Pertama Kanun Tatacara Jenayah mana-mana kesalahan yang HANYA MEMPERUNTUKAN HUKUMAN DENDA SAHAJA bukannya satu kesalahan yang boleh ditangkap tanpa waran. 

• Kesalahan-kesalahan di bawah RUU ini juga adalah merupakan kes saman.

• Generasi Penamat Rokok juga BEBAS DARIPADA SEBARANG REKOD JENAYAH kerana kesalahan di bawah RUU ini bukanlah kesalahan yang didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Penjenayah Dan Orang Yang Tidak Diingini 1969 [Akta 7].

viii. Pengasingan akta bagi produk alternatif tidak mudah terbakar (non-combustible alternatives)
• Tidak perlu diasingkan dan mesti dikekalkan di bawah RUU ini.

ix. Bahagian IX berkenaan Isu Penguatkuasaan
• Kuasa penguatkuasaan dihadkan bagi tujuan pengilangan, pembungkusan, penyimpanan, penyerahan, pengedaran atau penjualan produk tembakau dsb.
• Kuasa penguatkuasaan juga telah dikecualikan bagi rumah tempat tinggal.

x. Isu Keberkesanan Pelaksanaan GEG
• Laporan berkaitan keberkesanan larangan kepada Generasi Penamat Rokok dibandingkan Isu Harm Reduction dibentangkan di kedua-dua sidang Dewan:
a) sebelum Januari 2025
b) pada setiap lima (5) tahun .

• Satu Jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menyediakan laporan ini.

Kawalan tembakau dan hasil tembakau semasa adalah hanya di bawah seksyen 36 Akta Makanan 1983, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Namun, peruntukan (punca kuasa) di bawah Akta Makanan ini tidak membolehkan kesemua saranan WHO FCTC dilaksanakan menerusi keadah legislatif.

Seksyen 36 Akta 281 hanya memperuntukan kawalan tembakau sahaja. Produk merokok yang menggunakan selain daun tembakau seperti rokok elektronik, vape tidak dapat dikawal.

Oleh itu, kawalan terhadap semua segmen dan jenis produk merokok termasuk rokok elektronik akan dapat dilaksanakan jika RUU ini diluluskan.

Tambahan pula, susulan rancangan kerajaan dalam Belanjawan 2023 untuk mengenakan duti eksais ke atas produk atau cecair bagi rokok elektronik dan vape bernikotin, maka pencukaian ini hanya boleh diimplementasikan selepas RUU ini berjaya digubal oleh Parlimen kerana kerajaan tidak boleh mengutip cukai daripada sesuatu yang tidak sah.

Apabila generasi GEG sudah tidak boleh merokok, sumber perokok baru akan terputus. Maka, tiada lagi perokok baru direkrut. Lama kelamaan, bilangan perokok akan dapat berkurangan tahun demi tahun.

Budaya merokok ini buat generasi baru juga akan menjadi asing dan pelik.

Prevalen perokok akan semakin menurun tahun demi tahun kerana tiada lagi perokok baru daripada golongan orang muda dihasilkan dan akhirnya Malaysia dapat mencapai sasaran <5% prevalen perokok menjelang tahun 2040.

Tidak dinafikan lagi majoriti besar rakyat menyokong RUU dan GEG ini dilaksanakan. Sepatutnya tiada isu tentang sokongan terhakis, hilang undi atau akan ditentang rakyat terutamanya dalam pilihan raya akan datang.

Kajian oleh NST pada tahun 2020 di platform Instagram menunjukkan 75% menyokong, manakala di platform Twitter pula 82% menyokong.

Kajian oleh Malaysian Green Lung Association secara atas talian pada 2022 menunjukkan:
• Daripada 982 responden, 97.2% menyokong
• Daripada 457 responden muda (18-24 tahun), 95% menyokong.
• Daripada kalangan perokok dan vaper, 89% menyokong.

Kajian oleh KKM di kalangan lebih 47000 murid sekolah pada tahun 2022 membuktikan 97.6% menyokong.

Sokongan warga kesihatan awam dan swasta serta NGO-NGO perubatan dan kesihatan juga sangat besar terhadap usaha ini. Sebaliknya, satu-satu pihak adalah lebih berisiko mendapat tentangan majoriti rakyat sekiranya tidak melaksanakan RUU dan GEG ini.

Tidak. Sebaliknya dengan adanya GEG, pasaran rokok tidak sah akan semakin menurun.

Apabila merokok diharamkan untuk generasi GEG secara berperingkat bukannya drastik, bilangan perokok akan menurun dengan sangat signifikan, maka permintaan terhadap rokok juga akan berkurangan.

Akhirnya, pasaran gelap akan merundum lantaran tidak lagi mempunyai bilangan perokok yang ramai untuk disasarkan.

Perokok atau vaper sedia ada yang berumur 18 tahun ke atas pada tahun ini tidak akan terjejas akibat GEG.

Dasar GEG hanya berkuatkuasa terhadap generasi yang dilahirkan pada tahun 2007 dan seterusnya sahaja.

Maka, tiada halangan untuk perokok sedia ada untuk terus merokok atau vaping sehingga akhir hayat, atau sehingga dia berhenti selama-lamanya.

Walaubagaimanapun, perokok dan vaper sedia ada juga tidak akan diabaikan.

Mereka akan sentiasa disantuni agar dapat berhenti daripada tabiat merokok atau vaping tersebut selama-lamanya.

Ini adalah dasar utama dalam GEG, ia bukan isu teknikaliti dalam penguatkuasasan.

Jika seseorang itu tidak bersetuju dengan penguatkuasaan yang dikenakan terhadap GEG selepas umur 18 tahun, ia bermaksud sama ada mereka keliru dengan dasar GEG atau pun mereka sememangnya menolak GEG.

Apabila GEG ini dilaksanakan; walaupun seseorang yang lahir pada atau 1 Januari 2007 itu sudah berumur 30 tahun pada masa yang akan datang, larangan kepada mereka ini sebagai GEG yang telah dewasa akan tetap terpakai dan selama-lamanya sehingga mereka sudah tua, beranak dan bercucu cicit.

Sebab itulah ia dinamakan Generasi Penamat atau Generational End Game (GEG).

Generasi GEG tidak boleh membeli dan menggunakan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape sehingga akhir hayat meskipun telah mencapai umur 18 tahun. Larangan meningkat setiap tahun seiring umur.

Manakala dalam undang-undang sedia ada, larangan membeli dan merokok hanya ketika mereka sedang berumur di bawah 18 tahun sahaja tetapi tidak lagi selepas mereka sudah mencapai 18 tahun.

Peraturan semasa seperti ini tidak akan dapat mewujudkan generasi akan datang yang bebas daripada amalan merokok atau vape kerana golongan muda ini akan sentiasa direkrut untuk menjadi perokok baru bahkan proses rekrutment itu berlaku sebelum mereka mencecah umur 18 tahun lagi.

Secara umumnya, Generasi GEG sedia ada pada hari ini memang bukan perokok kerana masih berumur bawah 18 tahun.

Manakala perokok sedia ada pula, mereka sudah memang tidak boleh merokok di premis makan kerana peraturan yang digubal sejak tahun 2019.

Maka, tidak ada kena mengena yang GEG akan menjejaskan perniagaan premis makan.

Selain daripada itu, sumber pendapatan premis makan bukannya bergantung kepada jualan rokok tetapi kualiti makanan yang disediakan, perkhidmatan yang diberikan dan harga yang ditawarkan.

Sebaik RUU GEG diperkenalkan, rokok elektronik dan vape yang bernikotin akan mula dikenakan cukai bagi tujuan mengurangkan tabiat ini disamping kerajaan masih boleh mengutip hasil daripada perniagaan industri.

Cukai rokok yang sedia ada akan terus berjalan seperti biasa.

Walaupun kutipan cukai rokok dan rokok elektronik akan berkurangan sedikit demi sedikit pada setiap tahun dalam masa 20 tahun akan datang, kerana semakin berkurangnya bilangan perokok, negara akan semakin dapat menjimatkan kos rawatan akibat komplikasi penggunaanya, bahkan produktiviti rakyat pula akan semakin meningkat.

Tahukah anda, kos rawatan untuk mengubati penyakit-penyakit akibat tabiat merokok kini mencecah RM 6.2 billion berbanding hasil kutipan cukainya, iaitu hanya RM 2.6 billion?

Manakala kos rawatan penyakit EVALI, satu penyakit akibat penggunaan rokok elektronik pula, juga tinggi.

Justeru, secara keseluruhannya, pelaksanaan GEG akan menguntungkan negara.

“Generasi Penamat akan dilihat sebagai terasing apabila berada dalam kalangan Generasi Bukan Penamat ketika aktiviti merokok. Penguatkuasaan hanya tertumpu kepada Generasi Penamat yang merokok dan ini menjadikan situasi “Tidak Adil” akibat tidak mendapat hak yang sama untuk merokok…”

PERKARA INI TIDAK BENAR kerana implementasi yang telah dirancang akan merangkumi aktiviti pendidikan dan advokasi kepada kumpulan sasar di sekolah rendah dan sekolah menengah dan IPTA/ IPTS serta diperingkat belia.

Perancangan program advokasi Generational Endgame Anti Rokok bagi kumpulan 18 tahun atau GEGAR-18 akan dilaksanakan secara berstruktur.

Semua peserta kohort akan mengikuti program bermula di sekolah sehingga mereka berumur 18 tahun. Program GEGAR-18 akan diteruskan diperingkat IPTA/IPTS atau Belia selama 5 tahun sehingga mereka berumur 23 tahun.

Kajian telah menunjukkan bahawa sekiranya seseorang itu tidak merokok selepas 5 tahun melepasi had umur dewasa, maka kebarangkalian untuk mereka merokok adalah rendah.

Oleh itu pelaksanaan Larangan Generasi Penamat Rokok ini akan mewujudkan satu keadaan Denormalisasi Budaya Merokok.

Maka tidak timbul isu “Terasing” sebagaimana didakwa.

Anda boleh menyelematkan generasi anak-anak, cucu dan cicit anda pada masa hadapan daripada terdedah kepada rokok serta tabiat merokok termasuklah rokok elektronik, vape dan shisha/hookah.

Anda boleh bantu menyebarkan kempen-kempen yang kami jalankan baik daripada laman web ini mahupun kempen secara fizikal yang kami jalankan di seluruh negara.

Mereka boleh memanfaatkan platfom media sosial untuk membuat aduan atau laporan, melalui

  1. Nombor Aduan Rasmi KKM di 0108608949
  2. Aplikasi mudah alih RepotLah di AppStore atau GooglePlay 

Sokong GEG

Majoriti rakyat Malaysia menyokong akta dan GEG ini termasuklah vapers dan smokers. Ada pun mereka yang mengkritik bagi menambahbaik akta, hakikatnya mereka tetap menyokong akta dan GEG ini. Yang kuat sedang menentang dan cuba menggagalkan kini adalah industri dan juga pro-industri. Ayuh Malaysia! Sebarkan petisyen ini untuk bersama-sama dengan lebih 200,000 orang yang sedang menyokong agar GEG ini dapat direalisasikan pada kali ini.

Berita Terkini

Artikel
Nur Diyanah Abdullah

Malaysia Madani Tanpa Nikotin?

Pagi ni saya pandu kereta melalui lebuhraya di Sungai Besi. Saya nampak satu papan tanda gergasi. “Malaysia Madani, Negara Bangsa Progresif” Saya tengok sebelah kanan.

Read More »